SUKA & DUKA : SEBELUM 2009 MENINGGALKAN KITA

>> Wednesday, December 30, 2009


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Pujian dan segala kelayakkan yang tertinggi saya panjatkan ke hadrat ALLAH taala Tuhan yang Agung mentadbir sekalian alam. Saya bertitik tolak melafazkan dan memohon rahmat serta inayahnya yang berada di mana-mana, mudah-mudahan saya memperolehinya dan mampu berkongsi nikmat itu bersama semua manusia.

Lafaz selawat dan puji-pujian saya ucapkan terutama kepada Nabi Muhammad saw serta para sahabatnya. Semoga roh mereka yang hidup ini senantiasa bersama-sama untuk meneruskan perjuangan ini. Mari dengarkan nasihat dua kerat ini untuk kelangsungan iman kita bersama, semoga ia mampu mengubah kita kepada yang lebih baik.

Mahasiswa dan mahasiswi yang kukasihi,

Melangkah ke tahun baru sudah lazim bagi harian kita. Terkadang tidak terasa perginya hari yang terlalu pantas meninggalkan hari semalam. Terkadang terasa pula hari ini dan semalam adalah serupa sahaja. Lalu hari-hari yang ditinggalkan itu seperti dibuang tanpa ada disertakan dengan amal yang boleh dinilaikan sebagai pahala atau kebajikan.

Seorang mukmin yang hari ininya tiada peningkatan bahkan amalnya lebih buruk daripada semalam ia telah digolongkan sebagai mereka yang mendapat kecelakaan dalam KEHIDUPAN. Justeru, usaha mencantikkan amal dan prestasi walaupun sedikit tidak wajar diabaikan kerana ia merupakan bukti kesungguhan dalam bekerja. Maka, ia perlu diterjemahkan dalam setiap hari yang mendatang.

Tibanya tirai tahun baru 2010 ini, seperti juga datangnya tahun 2009 yang lalu, siang akan tetap berubah ke hari malamnya. Cuma menunggu manusia dan insan seperti kita mahu merubah cara dan meningkatkan amal kebajikan samada kepada diri-sendiri dan kepada ALLAH taala.

Berubahlah demi masa depan bersama.


Dunia MPPM : Suka Duka PERTAMA 2009

Masuk sahaja ke penggal ini, MPPM (Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia, Jordan) telah mencapai usia separuh penggal pemerintahannya. Sepanjang melalui beberapa tahun sejak bermulanya penubuhan MPPM, mereka yakni ahli kepimpinannya terus bersatu memajukannya sehingga ke tahun-tahun mendatang dengan tujuan segala kebajikan ahli terjaga dengan sempurna. Lalu mereka ini selayaknya diberi pujian dengan budi baik dan bakti yang sekian lama ditaburkan kepada kita.

Mahasiswa semua,

Ketika kebangkitan mahasiswa di Malaysia bangun membela nasib rakyat, kita juga seharusnya mengambil langkah kebersamaan mereka untuk mengekori jejak itu. Lalu, PERTAMA menjadi medan mahasiswa di sini di bawah kesatuan MPPM untuk menjaga serta membela ahli sejagat. Bukan setakat itu sahaja, di dalam PERTAMA juga turut membincangkan isu-isu umat Islam dan sejagat membuktikan MPPM masih peka terhadap isu semasa umat ISLAM di sekitarnya.

Palestin dan darah umat Islam di sana adalah juga sebahagian daripada darah daging umat Islam seperti kita. Kesakitan yang mereka alami merupakan kesakitan buat kita. Walaupun mahasiswa Malaysia Jordan tidak mampu ke sana menuntut perjuangan dan kebebasan tanah suci itu, tetapi sudah cukup meletakkan rasa simpati dan kebersamaan terhadap mereka sebagai bantuan spiritual untuk Palestin, justeru di PERTAMA 2009 inilah MPPM membuktikan sikap dan pendirian mereka bahawa isu umat Islam sebegini amat penting di mata ahli.

memoir PERTAMA'08 selepas 7 tahun sepi daripada bersidang


Saudaraku yang dikasihi,

Dalam pada simpati dan cakna yang kita beri kepada umat Islam di sana, namun ada sesetengah pihak yang kurang senang dengan keadaan itu, mereka terlalu sensitif terhadap isu tersebut. Bagi mereka, isu palentine tidak layak disentuh oleh mahasiswa seperti kita. Lalu terjadilah tragedi yang tak pernah difikirkan. Anjuran PERTAMA terpaksa dihentikan ketika slot kemuncak mahu dijalakan. PERTAMA seolah dihalau dari terus mengadakan persidangan.

ALLAH Maha Kuasa, Dia tidak akan mengecewakan kumpulan yang membantu agamanya. Dari sebuah dewan yang selesa dan besar, PERTAMA beralih ke dewan yang kecil, tetapi persidangan tetap terus berjalan dengan semangat yang lebih besar, bertambah kuat serta berkoba-kobar. Semangat juang Ahli Jawatankuasanya memang kental. Syabas dan tahniah!

PERTAMA 2008 ada menyimpan memoirnya sendiri, dan ia pasti akan termaktub di dalam diari kecil MPPM.

Tulislah nanti.


Almarhum Ustaz Arman, Hilangnya yang Tiada Ganti

Ketika artikel ini ditulis, Almarhum baru 2 hari meninggalkan kita. Episod perjalanannya di dunia yang fana’ ini sudahpun ditutup lembaran bukunya, hanya kita yang masih menunggu masa dan ketika datangnya detik kematian. Jika bukan hari ini, pasti esok atau lusa, tidak perlu berebut untuk merasanya kerana dia sudah berjanji untuk menyapa kita nanti. Cuma anda telah bersiap ataupun tidak.

Terpulanglah bagaimana resepsi persiapannya.

Walaupun pemergian beliau bakal meninggalkan seribu satu kenangan manis bersamanya, kita sebagai seorang manusia yang masih dikurniai segenggam nyawa serta kudrat harus meneruskan perjalanan ini dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Pengajaran tentang baik buruk selepas kematian telah ALLAH taala lampirkan di dalam kitabnya serta diceritakan oleh Nabi saw di dalam setiap patah hadith sucinya. Tinggal kita sahaja yang bijak menilai makna kandungan tersebut.

Kita bukan sahaja menangisi pemergian Allahyarham bahkan kita juga menyanjung budi beliau yang banyak menaburkan jasa dalam memperjuangkan kebajikan pelajar-pelajar di Jordan. Melahirkan rasa sedih dan terkilan sahaja belum memadai selagi kita tidak mampu mencontohi beliau dalam gerak-kerja dan peribadinya. Biarlah saya katakan saya tidaklah mengenali beliau seperti saya mengenali Ustaz Sulaiman, tetapi cukup saya nyatakan beliau orang yang terbaik pernah saya temui. Dia juga sebagai ‘rakan’ saya.

Almarhum Ustaz Arman (tiga dari kiri)


Semoga rohnya dicucuri sebanyak-banyaknya Rahmat daripada ALLAH taala lalu dia ditempatkan bersama golongan yang mendapat ganjaran Syurga.


PRISMA sudah menjangkau Umur Dewasa!!

Sedar atau tidak sedar, persatuan yang sudah lama kita naungi ini sudahpun mencapai usia matang. Sejak ia mendewasakan diri dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, PRISMA kini sudah berani bergerak dan berdiri setaraf bersama persatuan-persatuan lain, dan yang paling membanggakan ia telah melahirkan beratus-ratus graduan ilmu yang masyhur.

Siapa yang tidak mengenali dengan Profesor Ustaz Farid Ravi, beliau yang memegang tampuk barisan pertama kepimpinan PRISMA bukan sahaja telah membawa PRISMA ke persada keagungan tetapi pulang ke tanah air sebagai daie dan ikon masyarakat yang dikagumi. Lambat laun saya mendoakan beliau akan mejadi tokoh masyarakat yang pula disegani.

Tanggal 15 Februari 1995, ramai yang belum mengetahui bahawa ini adalah tarikh keramat yang melahirkan 'bayi comel' diberi nama PRISMA. Ketika itu ia belum sekukuh seperti sekarang, namun pembinaan tapaknya yang kuat menjadikan PRISMA sudah mampu berdikari sehingga mencapai umur 15 tahun. Tahun hadapan 2010 , ia bakal menyaksikan kewibawaan PRISMA dan kematangannya sepanjang menempuh tampuk pemerintahannya yang penuh liku dan cabaran.

Mahasiswa yang ku hormati,


Inilah Misi Ukhwah Kita.

Jika dahulu, PRISMA masih lagi ‘merangkak perlahan’ tetapi sekarang, kalau dinisbahkan PRISMA sudah menjadi ‘anak dara manis’ atau ‘bujang teruna’ yang boleh berlari pantas dan mampu merelevankan setiap mehnah yang dilalui. PRISMA saya yakin akan terus tabah walau berhadapan dengan sekuat mana ujian sekalipun, misi dan visi ukhwah serta kebajikan kepada ahli perlu diteruskan serta dilaksanakan. Saya pasti dan yakin, keikhlasan pimpinan yang menaunginya telah dianugerahi ALLAH taala suatu kekuatan yang amat luar biasa. Buktinya, Sehigga sekarang PRISMA masih lagi bernafas segar dan mampu memberi nafas kepada ahlinya.

Saya mahu mencadangkan kepada Ahli Majlis Tertingginya, pada tahun hadapan iaitu 2010 nanti, kita dan ahlinya mesti menyambut hari lahir PRISMA yang ke-15, saya mahu melihat ahlinya bersatu di atas nama UKHWAH FILLAH dalam pelukan PRISMA. Apa bezanya antara Negara Malaysia yang sudah berumur 54 tahun merdeka dengan umur 15 tahun PRISMA? Kita mesti menyambutnya, ayuh ahli-ahli PRISMA, nyatakan dan berilah sokongan kepada saya dan PRISMA untuk temasya itu nanti. Kita buat ini hanya untuk satukan ukhwah kita, apa salahnya kan?

‘Satu Mafraq, PRISMA Bertakhta di Hati’


Introspeksi (Aku.Kamu.Kita)

Sidang pembaca dan Mahasiswa yang saya kagumi,

Saya menyeru kepada semua yang bergelar mahasiswa dan mahsiswi agar meletakkan dasar Ilmu dan Akhlaq sebagai pedoman di hadapan sekali. Dengan menjadikan Ilmu sebagai panduan untuk berakhlaq serta berketrampilan di dalam setiap tindak-tanduk, maka prinsip ilmu ini perlulah dipegang kukuh dan disemat di minda mahasiswa seperti anda. Akhlaq pula akan menampilkan realiti individu sejauh mana pratikal dan amali anda dalam KEHIDUPAN berilmu anda.

Ilmu dan Akhlaq adalah dua mekanisma yang terpenting dalam janaan anda sebagai seorang yang bukan sahaja bergelar graduan tetapi daie yang bakal berhadapan dengan masyarakat suatu hari nanti. Anda adalah harapan masyarakat dalam menyebarkan keagungan Islam di Tanah Air kita, Malaysia tercinta. Saya katakan bahawa anda adalah mutiara satu di dalam seribu yang akan mencorakkan dan memindakan masyarakat Melayu kita dengan corak keagamaan dan kesantunan berbudaya, agar suatu hari Islam dapat ditegakkan dengan kejayaan seiring sifat kesyumulannya yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Jauhi Fitnah dan Persengketaan.

ALLAH taala dalam kalamnya menyebut dua kali berkenaan besarnya dosa fitnah yang menjadi pencetus kepada persengketaan. Dosanya lebih besar dan dasyat daripada perumpamaan membunuh. Janganlah kita sekalian menjadi agen penfitnah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab dan Isterinya. Amatlah malang apabila seorang bertitle agama seperti kita sengaja menjerumuskan diri-sendiri ke lembah yang sehina itu. Ia bukan sahaja merosakkan ketenangan sebuah komuniti bahkan menanggung dosa yang terlalu besar sesama manusia.

Justeru, marilah sesama kita ini menjauhi sifat pecah-belah seperti ini, janganlah cuba mengaibkan dan menghebahkan keaiban manusia antara manusia biarpun ia sebuah kesalahan, apalah sangat manfaat yang kita perolehi dengan mengaibkan manusia. Lebih besar dan beruntung apabila kita sendiri yang berkorban menutup aib itu, ganjaran pahala pasti berpihak pada anda dan suasana ukhwah akan terus kukuh terjalin. Saya meminjam sepotong sabda Nabi saw yang berpesan:

‘Barangsiapa yang menutup aib manusia ketika di dunia, maka ALLAH taala akan menutupkan aibnya di akhirat kelak. (demikianlah sebaliknya)’


Akhirnya, berkata Soal Hidup.

Mahasiswa/wi yang dikasihi,

Akhir kalam saya, ingin saya berpesan kepada semua

** ‘Apabila menanti bilah-bilah hari menuju tahun baru nanti, ia adalah sebuah keinsafan. Helaian demi helaian amalan kita di dunia ini diminitkan dan menunggu masa untuk diterima dan disahkan. Dunia semakin tua dan sentiasa acap mengulangi kesilapan yang sama. Ia tidak lagi sedar kerana ia telah tua dan telah nyanyuk untuk mengerti erti sebuah iktibar dan keinsafan.

Semua kita semakin tua. Seorang ahli akhirat akan semakin terungkai daripada tubuhnya ikatan-ikatan duniawi dan tali-tali akhirat semakin galak memegangnya dengan kuat. Dia semakin mencintai akhirat dan menggilainya. Dunia semakin jauh meninggalkannya dan dia tidak akan berpaling lagi kepadanya.

Adapun ahli dunia, tali-tali duniawi terus mengikatnya dengan lebih kuat. Dunia menagih hutangnya yang belum langsai. Kezaliman dan kemusnahan yang dilakukannya menghambatnya sehingga sukar sekali tali-tali akhirat untuk mengikatnya. Ketika akhirat memanggil-manggilnya, dia terus menjengah pada dunianya yang penuh soal dan tanya.

Dia ingin mempertahan diri di hadapan dunia yang akan lebur, sedang akhirat menunggunya dengan cemeti dan belenggu azab dan kepedihan’ **

Apalah ertinya KEHIDUPAN jika ia tidak dimaknakan dengan sebuah redha ALLAH taala.

“ALLAHUMMA, jadikan diri kami hari ini lebih baik dari KEHIDUPAN semalam. Mudah-mudahan diri kami terjauhi daripada golongan yang dirundung kecelakaan, amin YA ALLAH”

Sekian.


Dedikasi oleh,

MOHD AFIQ MOHD SALEH
Setiausaha Agung,
Persatuan Mahasiswa Malaysia AL al-Bayt (PRISMA)
Sesi 2009/2010

_____________________________

p/s: [31 Disember 2009] - Selamat hari Lahir ke-23 buat sahabat saya MOHD TARMIZI ALIAS, moga dipanjangkan umur dalam kebahagiaan dan Rahmat ALLAH taala.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

BEGITULAH ANAK-ANAK, BIARKAN MEREKA DENGAN KERENAHNYA [Sebuah Tribut Untuk Siti Nur Aisyah]

>> Sunday, December 27, 2009


Hidup Mereka Mesti Disusun

‘Bampit bila nak balik Malaysia?’

‘Sekarang Aisyah macam dah lupa muka Bampit macam mana’ Aduh! Sedihnya tetapi kelakar. Adik saya yang bongsu sekali sudah lupa wajah saya. Saya tersenyum sendiri di balik telefon bimbit. Ini baru setahun lebih saya tidak pulang ke Malaysia.

Akhirnya, ulah Aisyah yang kelakar itu menjadikan saya terus tergelak besar. Aisyah memang begitu. Bagi dia tidak kelakar, tetapi bagi kami sekeluarga kadang-kadang, kata yang keluar dari mulutnya bakal mengundang tawa yang hebat!

Saya hanya punyai seorang puteri dalam keluarga, iaitu adik bongsu yang kini mengikut perkiraan saya sudah berumur sekitar 8 ke 9 tahun, mudah perhitungan dia sedang menuntut di darjah 3. Saya seorang sulung dan mempunyai 4 orang hero di bawah saya, cuma baki heroin sahaja yang berbeza kerenah dalam team kami. Lalu ia mengubah lanskap KEHIDUPAN kami. Inilah dia fenomena Aisyah.

Sepanjang 14 tahun saya hidup dalam suasana ‘kelelakian’ bersama teman-teman hero saya, maklumlah tiada perempuan di dalam family melainkan bonda sahaja. Maka, kondisi itu menguasai hidup kami sepanjang perjalanannya. Hidup sebagai seorang lelaki yang semua sudah maklum; bermula dari makan dan minumnya semua perlu diatur, disusun, dijadualkan dan segala bentuk penyusunan. Pendek kata, ayah sayalah yang menjadi ‘ketua tentera’ menjadualkan pergerakkan kami. Ah, inilah hidup seorang lelaki, semuanya koboi. Perlu ‘diketuk’ sentiasa.

Mandinya koboi, kalau tidak disuruh memberus gigi, tinggallah berus gigi dengan ubatnya yang telah keras, mandi pun hanya menyapu sabun di bahagian-bahagian penting. Baju, kalau tak berserterika pun tak mengapa. Akhirnya semua diserapkan dengan pemikiran ‘tak apa, sempoi-sempoi’ sudah - ‘kata lelaki?’

Rotan dan tali pinggang itu, biasalah kalau namanya anak lelaki. Itu saja wasilah yang paling relevan mahu membentuk anak lelaki ini. Bukan berkasar, tetapi itu wajar dilakukan sekali sekala kerana mereka nanti akan menjadi manusia pelindung kepada wanita. Kalau dilembut-lembutkan akan lain jadinya apabila besar nanti. Masakan kita lupa tentang ajaran Nabi saw, katanya: ‘Pukullah anakmu bila sudah mencapai umurnya 10 tahun jika mereka tidak mahu mengerjakan solat’

Siti Nor Aisyah


Kalau mahu tahu, dengan izin ALLAH-lah tali pinggang dan rotan-rotan tadi yang menjadikan saya seangkatan seorang manusia. Berkat sabda Nabi dan ikhlasnya seorang ayah mendidik kami.

Habis.


Ajari Mereka dengan MALU

Tahun 2000, memecahkan tradisi hidup kami, KEHIDUPAN di alam kelakian sudah mula berubah dengan kehadiran Siti Nur Aisyah, seorang perempuan! Sedikit sebanyak kami merasakan kejanggalannya. Seolah-olah ada ‘orang luar dan asing’ telah masuk ke dalam team kami. Apa tidaknya, berbelas tahun hidup dalam lingkungan lelaki tiba-tiba dihiasi dengan kehadiran seorang puteri, suasananya bakal berubah. Senang kata, hidup dalam suasana kelakian menjadikan kami pemalu dengan wanita. Tidak hairanlah ketika berumur belasan tahun, jika ada teman-teman perempuan yang datang berhari raya di rumah nenek saya, saya sanggup menyorok dan membatu di dapur – terasa malu sangat!

Itulah padahnya.

Dahulunya, jika semua lelaki apa pun perbuatan kami tidak menjadi masalah, waimah mahu mandi berlima dalam satu kamar mandi tanpa ‘apa-apa’ pun tidak mengapa kerana kami semua lelaki. Kadang-kadang si puteri ini pun mahu turut serta sekali untuk mandi bersama kami. Di masa berumur 5 tahun dia masih belum tahu membezakan jantinanya bahawa dia seorang yang ‘lain’ planetnya dari kami – perempuan. Aurat kita berbezakan?

Tetapi kini sudah mula diubah, saya perlu menerangkan bahawa dia seorang perempuan. Dan hak dia adalah terlalu berbeza dengan kami. Aurat kami hanya dari lutut ke pusat, tetapi dia lain. Seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan. Walaupun dia baru sahaja berumur 5 tahun tahun, saya perlu mengajari dan membiasakan semua itu kepada adik bongsu saya ini. Jika tidak selepas mandi, dia akan berlari ke ruang tamu tanpa ‘apa-apa’. Saya pula yang terpaksa menutup mata.

Lenturi mereka tentang aurat bermula dari kecil.

Selepas Aisyah meningkat besar, bonda saya mula sedikit mengajarnya agar menutup rambutnya. Dihantarkan Aisyah ini ke sekolah ISLAM yang di dalamnya semua menutup kepala dengan tudung. Mulanya memanglah agak rimas, tetapi lama-kelamaan dia sudah berupaya melakukannya sendiri, bahkan sudah pandai berfasyen dan memilih tudung. Mahunya yang ala-ala wardina sahaja – amboi.

Anak-anak memang begitu, biarlah keranah mereka itu, janji baik.


Kadangkala bila kami mahu keluar dari rumah bersiar-siar, dia akan berlari-lari mencari tudungnya. Lebih teruk jika dia tidak menjumpai tudung yang sepadan dengan warna bajunya dia akan merungut, dan boleh jadi dia akan menangis. Pertama kerana takut ditinggalkan kami, kedua kerana tudungnya tidak dijumpai.

Masya’ALLAH, bonda dan ayah saya sudah berjaya mentarbiyyahkan agar si Aisyah ini sentiasa bertudung. Walaupun pernah saya bertanyakan kepadanya (Aisyah) ketika kunjungan teman-teman lelaki berhari raya di rumah saya, kenapa pakai tudung?

‘Malulah tunjuk rambut kat orang laki-laki. Ibu kata nanti nampak kutu’ saya ketawa lagi, tetapi dia sudah tahu membezakan malu walaupun dia masih belum mengerti itu adalah aurat.


Mereka Cuma Ingin Tahu

baru-baru ini, Aisyah ini mengirimkan kad hari raya ke sini. satu soalannya yang menggamit dan memecahkan hilai tawa saya:

'Bampit, macam mana hari raya kat joden* (Jordan). ada kuih yang aneh-aneh tak?' soalan ini menggelikan hati saya. walaupun hanya sedang membaca sekeping kad hari raya, hilai tawa saya seperti dia sedang wujud di hadapan saya bertanyakan soalan itu. "yang aneh-aneh" saya ingat perkataan ini sampai mati.

begitulah anak-anak...

Anak-anak, sudah lumrahnya di dunia, selalu berasa ingin tahu. Anda perlu rasa bahawa, kerana sifat ingin tahu inilah mereka akan berupaya membezakan antara dosa dan pahala, antara baik serta buruk. Mereka tidak akan tahu bahawa perbuatan mencuri itu haram dan tidak baik melainkan andalah sebagai teman rapat mereka yang memberitahunya.

Kita seharusnya menerangkan apa ertinya larangan dan apa ertinya suruhan walaupun penjelasannya terpaksa difikir-fikir secara logic akal untuk diterangkan kepada mereka. Kadangkala kita jua akan pening kepala untuk memikirkan jawapan terhadap soalan mereka. Namun, jawapan perlu diberi kerana mereka ingin tahu – baik dan buruk.

Pendek kata, jangan biarkan anak-anak anda diam dalam seribu pertanyaan, kerana mereka sendiri akan berusaha mencarinya walaupun terpaksa berhadapan dengan bahaya dan dengan cara mereka sendiri. Ingat, anda yang akan menanggung bahaya dan malunya nanti. Walaupun ianya berupa soalan yang remeh seperti:

‘Kenapa kita kena sembahyang mama?’

‘Ma, orang tu tak pakai tudung macam kita pun? Dia biarkan rambut dia je, kenapa Ma?’

‘Papa, macam mana Boboy boleh dapat dapat adik?’


jangan terkejut, ini bukan akhil hayy tetapi Aisyah. inilah kerenahnya bila duduk bersama team lelaki


Jawapannya ada pada seorang ayah dan ibu seperti anda. Inilah yang dinamakan tarbiyyah. Bermula dengan soalan beginilah anak-anak akan meningkat ke arah kematangan. Anak-anak akan beroleh kekuatan berfikir dan akhirnya mereka akan dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Lebih menggembirakan, apabila anak-anak anda sudah tahu apa itu prinsip sebuah dosa dan pahala lalu mereka berusaha menjauhinya.

Jangan biarkan ‘ingin tahu’ mereka dicemari dahulu dengan pengetahuan yang kotor dan buruk. Basuh dan hiasi fikiran mereka dengan yang baik-baik dahulu, dengan agama ISLAM, agar akar itu akan kukuh. Jangan tunggu sehingga meningkat dewasa baru mahu diasuh, maka akan rugilah kedua tangan anda kerana buluh yang sudah tua tidak akan mudah dilentur.

Anak-anak ibarat kain putih, siapa saja yang mencorakkannya maka itulah acuan yang akan terjadi. Warna KEHIDUPAN mereka adalah ditangan anda. Cuma sesekali, biarlah mereka dengan kerenah mereka.

Anak-anak, begitulah.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

FILEM MELAYU vs FILEM INGGERIS : KAYU UKURNYA SUDAH 'HILANG'

>> Wednesday, December 23, 2009


Bagaimana Penilaiannya dan Kayu Ukurnya Siapa?

Saya hanya mahu merungkai dua aspek ini. Mesej dan Jalan Cerita.

Dahulunya, di sekitar era dan tahun 70-an, filem-filem rata-ratanya memaparkan kisah hidup atau masyarakat sebagai keutamaannya. Bermula kisah hidup yang dikorek daripada sejarah sehinggalah kisah reality yang berlaku di sekeliling. Tidak lebih dari itu, semuanya diadun dengan baik dan cermat jalan penceritaannya sebelum diterbit menjadi sebuah filem yang berkualiti.

Dahulu, kayu ukurnya adalah kepada 'story board' dan mesej yang mahu disampaikan oleh pengarah filem. Apabila mesej itu diterima baik oleh masyarakat yang menontonnya, maka pengarah itu dikira berjaya dan diangkat sebagai filem terbaik walaupun jalan ceritanya kurang menarik. Pada mereka, jalan cerita yang menarik bukanlah sandaran utama sesebuah filem, kerana itu hanya subjektif bagi penonton, yang perlu diutamakan adalah mesej positif.

Lihat sajalah filem-filem Seniman P.Ramlee, jalan ceritanya disusun dengan cara yang ‘biasa-biasa’ tetapi jelas memaparkan keindahan mesej dan objektif perfileman yang mahu disampaikan, mesej kasih sayang, perpaduan, kesepakatan dan lain-lain mekanisma positif dapat disampaikan sebaiknya. Kalau mahu ditimbang pada jalan ceritanya, tidaklah terlalu baik. Tetapi ia menjadi kegemaran masyarakat melayu kerana mesejnya yang berjaya. Tidak hairanlah jenaka Allahyarham P.Ramlee ini masih segar ditayangkan sehingga kini.

Akhirnya, zaman kini sudah berubah, mentality masyarakat juga diambang perubahan yang kurang sihat. Mereka sebagai penonton ada yang sudah bosan dengan filem-filem yang bermesej ini, bagi mereka filem-filem itu bukan zamannya lagi untuk ditayangkan. Mereka mahukan filem-filem berbentuk dan bermotifkan HEDONISMA. Lalu, berlumba-lumbalah para pencita filem terutamanya dari barat berusaha menerbitkan filem berunsurkan hiburan.

Lalu, filem-filem yang bermotifkan Hedonisma ini sedikit demi sedikit mendapat tempat di hati penonton. Sekarang sudah terbukti, filem-filem Hedonisma ini sudah mampu mengalahkan filem-filem biasa (yang bermesej) di pasaran. Ceritanya tidaklah seberapa, tetapi apabila diselitkan dengan hiburan yang berlebihan ia tiba-tiba menjadi pujaan penonton sehingga dinobatkan sebagai filem box office, modalnya hanya Hiburan semata-mata. Manusia sudah kelabu mata untuk membuat pilihan.

Akhirnya, yang menjadi kayu ukur kepada filem-filem masakini adalah filem mana yang paling banyak dipaparkan dengan unsur Hedonisma, ia akan menjadi filem kegemaran dan terbaik. Mesej ditolak ke tepi dahulu.

Anda sendiri boleh melihatnya, kebanyakkan filem-filem box office inggeris didahului oleh filem hiburan di tangga teratas sekali. Filem-filem bermesejkan masyarakat hanya menduduki carta yang bawah dan tercorot. Penonton sudah mula hilang minat terhadap filem-filem yang bermesej positif tetapi telah mula mengambil hiburan sebagai kayu ukur pada sesebuah filem.

Anda perlu bertanyakan diri, di bahagian manakah anda? Dan bagaimana anda menjadi penilai terhadap sesebuah filem.


Selayang Pandang

Saya akui dan merendah diri apabila ada di kalangan ‘Kipas Susah Mati’ filem-filem inggeris ini mengatakan: ‘Filem inggeris lebih baik mutu teknologinya kalau nak dibandingkan dengan filem melayu yang sudahlah lesu, ketinggalan zaman pula tu’

Orait! Saya akuinya. Tetapi,

Kalaulah hanya kerana kecanggihan teknologinya serta kehebatan persembahannya dijadikan alasan untuk me’wajib’kan juga memaksa agar dialihkan minat saya supaya menonton filem inggeris ini, itu belum cukup untuk saya merubah pendirian, apalah sangat mahu dibanggakan dengan kecanggihan teknologi itu jika ia dibaurkan dan dikuasai dengan mekanisma maksiat di dalamnya. Apa tidaknya, majority (walaupun bukan semua tetapi boleh dibilang) filem-filem inggeris pasti akan ada adegan-adegan seks bebas. Paling kurangpun berciuman!

Kalaupun pasangan aktres yang berlakon itu sudah berkahwin dan halal hubungannya, tidak sewajarnya adegan itu ditontonkan kepada khalayak. Mengapa sampai begitu?

Setakat filem-filem canggih dan up to date melebihi zaman yang dibangga-banggakan seperti Terminator, Mask Rider, Batman, Superman dan lain-lain lagi yang seumpama kecanggihan dengannya, lebih banyak-banyak lagi filem-filem yang sebaris dengan itu wujud bahkan sama juga pembawaan serta tonjolannya: yang hendak dibawa hanyalah FANTASI dan KEWUJUDAN DI ALAM SEKARANG.

Mungkin adalah lebih baik saya terus menonton filem kegemaran saya iaitu DORAEMON, ia juga memaparkan dunia fantasi dan abstak yang tidak wujud, cuma lebihnya adalah, filem itu bebas daripada adegan seks. Baik untuk anda juga kanak-kanak.



Saya amat serius mengatakan ini, saya lebih rela dihina dan menahan telinga disindir oleh rakan-rakan kerana menonton filem-filem cerekarama melayu yang lembap jalan ceritanya daripada bersekongkol dengan mat-mat salih barat (tidak ISLAM) yang bermaksiat.

Saya bukanlah tidak langsung menonton filem inggeris, ada sebahagian filem yang dijamin sedikit ‘kebersihannya’ juga saya tonton seperti filem THE KITE RUNNER, CHIPMUNK, FINDING NEMO, THE NUTTY PROFESSOR dan lain-lainnya, namun sekadar mengambil manfaatnya sahaja, tidaklah saya terlalu obsess seperti sebahagian ‘Kipas Susah Mati’ yang lain. Keluar saja filem baru, sudah bersiap untuk ke pawagam, keluar saja filem box office rasa rugi yang teramat apabila tidak menonton. Yang paling teruk kesannya, sampaikan solat jadi terabai dek kerana taksub dengan filem-filem inggeris ini.

Saya tidaklah mahu melebihkan filem-filem melayu, atau menganak-tirikan filem-filem inggeris, saya tidak langsung menyalahkan mereka menghina filem-filem melayu tetapi jika ada yang memuja-muja filem inggeris sebagai minat utama sehingga tersisih prinsip ISLAM dan terabai perkara-perkara keaulawiyatan itu sudah dikira melampau bagi saya.

Lebihnya filem inggeris ini hanya pada teknologinya, tetapi lebihnya filem melayu ini mungkin bagi saya kerana ada budaya-budaya melayu dan adat sopan yang masih dipelihara dan kurang sedikit dari maksiatnya. Ya, mungkin ada filem-filem melayu minority yang agak teruk dan ‘kotor’ tetapi itu cuma sebilangan kecil yang dapat kita elak dan membuat pilihan. Terserah kepada sikap kita sebagai seorang pelajar ISLAM yang berugama ISLAM yang juga dahulunya dilahirkan di dalam keluarga MELAYU dan ISLAM.

Tontonlah jika anda mahu, tidak mengapa. Saya juga adakalanya menonton filem-filem inggeris ini walaupun boleh dibilang dengan jari. Tetapi, saya tetap meletakkan sikap waspada terhadap kedua-dua genre filem ini. Filem inggeris mahupun melayu, ia tetap perlu diwaspadai. Anda boleh menonton filem-filem inggeris ini, tidaklah salah jika ada manfaat dan baiknya, tetapi cukuplah sekadar menjadikan ianya sebagai ‘suka-suka’ bukannya sebagai sesuatu yang perlu’. Janganlah mengatakan ‘aku menyesal dan sangat rugi’ jika tidak sempat menonton filem inggeris sekian-sekian. Ada kita tonton, jika tiada, sudahlah. Banyak lagi filem melayu yang hebat jalan ceritanya, pilihlah! Bahkan kurang maksiatnya.

Syuga Cinta, Air Mata Ibu, Seputeh Qaseh Ramadhan dan yang terbaru dan terhebat siri drama Nur Kasih. Ini semua di antara barisan filem-filem melayu yang tidak kurang hebatnya.



Drama NUR KASIH - Fenomena Filem Islamik di Malaysia

Filem 2012 arahan *** baru-baru ini menimbulkan konflik dan kekacauan di kalangan para pengkritik filem barat dan para ugamawan tidak kira ISLAM dan KRISTIAN. Ia bukan sahaja menyentuh soal kepercayaan agama ISLAM bahkan turut dipersoal oleh pemikir yang berpegang kuat dengan agama sekarang. Mujurlah, tidak dipaparkan dengan gambaran keruntuhan dan kebinasaan Kaabah di dalam filem tersebut, jika tidak, mungkin ada yang bakal menerima nasib yang sama seperti pelukis karikator menghina Nabi saw. THE ALMIGHTY juga antara filem kontoversi yang sempat diharamkan kemunculannya di Malaysia. Terima kasih kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia. Jangan biarkan doktrin barat yang kotor cuba mencampuri urusan tarbiyyah ISLAM di Malaysia.

‘Filem Korea, Jepun, Thailand dan lain-lainya macam mana pula?’

Saya percaya, anda adalah penilai yang hebat dan berhemah, apa yang saya lontarkan adalah sebahagian pandang sisi saya sebagai orang yang tidak pakar di dalam bidang perfileman apatah lagi ia bukanlah profession saya. Tetapi saya yakin, siapa yang tahu memikirkan tentang dosa serta pahala dia pasti dapat membezakan antara baik dan buruk sesuatu. Anda boleh menjadi apa yang anda mahukan dalam KEHIDUPAN perfileman ini, yang positif atau negatif.

Jika anda sebilah pisau, adakah anda mahu menjadi pemilik kepada seorang pemotong sayur atau pemilik kepada seorang pembunuh? Lakukanlah Pilihan yang Tepat.

_______________________

p/s: belum sempat menonton filem yang menjadi kegilaan remaja KETIKA CINTA BERTASBIH. dialog yang selalu menjadi sebutan: "siapa namanya mas?, ABDULLOHHH".. kelakar, kelakar!!

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

‘SAYANG ISTERI, TINGGAL-TINGGALKAN’

>> Monday, December 21, 2009


‘Ada tak teman-teman anta yang berkahwin sesama tempat belajar, satu bidang?’ Soal seorang sahabat seusai kami berprogram kelmarin, API 2009.

‘Ada, ramai’

‘Macam mana ya KEHIDUPAN mereka?’

‘Maksud anta, dari sudut mana yang hendak dijadikan penilaian?’ saya bertanyakan kembali. Dia seperti betul-betul mahukan sesuatu.

‘Maksudnya, bagaimana mereka membahagi masa, antara masa bekerja di luar dan masa bersama keluarga’

‘Ohh.. Ana memang ramai teman-teman yang berkahwin seusia macam anta, yang lebih tua pun ada. Tapi majoritinya belum lagi terlibat dengan kerja-kerja amal ijtimaie (amal kemasyarakatan). Semua still in study’ balas saya.

‘Kenapa?’ saya rasa dia mahu membuka topik. Soal saya.

‘Tak adalah….’

Saya seronok berbual dengannya, sejak sebelum dia berkahwin lagi dia banyak bertanyakan pendapat saya berkenaan ilmu-ilmu dan selok-belok perkahwinan. Saya bukanlah perunding motivasi perkahwinan atau keluarga, tetapi dia selalu datang bertanyakan sesuatu “about da married”. Saya belum berkahwin, jadi kebanyakkan idea serta pandangan saya hanya berat kepada minda persepsi dan juga melalui pembacaan umum. Selebihnya, saya hanya mencungkil pengalaman orang yang rapat dengan saya dan apa yang berlaku di sekeliling. Guru saya adalah melalui pengalaman saya sendiri dan pengalaman orang yang bercerita dengan saya.

Begini kisahnya, sahabat saya yang seorang ini, Fakhri (bukan nama sebenar) memikirkan kebimbangannya apabila dia dan isteri seusai menamatkan pengajian nanti. Sesuatu yang mengganggu fikirannya dan menghantui setiap pasangan suami isteri untuk terus kekal dengan suhu kebahagiaan, iaitu KESIBUKKAN!!

Siapa yang tidak bimbang? Kesibukkan ini akan membataskan keintiman pasangan sehingga masa kebersamaan tidak seperti ketika mula-mula kahwin dahulu. Dek kerana kesibukkan juga, kalau dahulu mampu berdiri untuk solat berjemaah bersama tetapi bila dibebani dengan situasi itu, makan malam pun mungkin akan menjadi jarang jaraknya, bahkan lebih teruk daripada itu, suami terpaksa tidur di pejabat atau di tempat meeting futsall anjuran pemuda!!

Namun, siapa kata dengan situasi begini, anda tidak berpeluang untuk mengecap nilai bahagia? Ia boleh, boleh dan boleh! Bahkan jika betul caranya, kekangan kesibukkan inilah akan menjadikan anda lebih intim dan rapat bersama pasangan anda. Kesibukkan yang mencuri masa kebahagiaan anda ini boleh diubah dan bertukar menjadi masa bahagia yang paling hebat dan cukup-cukup bermakna bahkan lebih intim seperti di masa honey moon.

Saya akan ceritakan bagaimana kesibukkan yang melahirkan kerinduan nanti…


Tinggalkan Orang Tersayang, Jika Hati Benar-Benar Sayang

‘Zaujah (isteri/wife) ana kata, dia bercita-cita nak jadi Ketua Muslimat N***!’ Dia menyambung bicaranya yang tertangguh tadi. saya lihat ada calar-calar kerisauan di wajahnya.

‘Wahh, besar impian dia. Bertuahlah anta dapat zaujah serupa dia. Beruntung’ saya pula mengusiknya biar hilang segala runsing dan risaunya.

‘Tak best la macam tu, zaujah sibuk siapa nak temankan atau jaga ana nanti?’ itulah point yang mungkin dia mahu nyatakan sejak awal perbualan. Saya sudah duga. Cemburu rupanya.

‘Perempuan ni, kalau boleh komit dan aktif dengan usrah cawangan pun sudah memadai. Tetapi jika mahu lebih terpulanglah, thas great. Tapi jangan sampai abaikan suami’ bilang saya.

‘Itulah yang ana risaukan’ sambung Fakhri.

‘Sayang bini tinggal-tinggalkan, pernah dengar pepatah tu? Begini, kalau kita hari-hari duduk bersama isteri, setiap masa mahu berjumpa, tidak ke boring?’ Saya menduganya. Mahu dia faham sendiri akan situasi yang bakal dia hadapi nanti.

Saya menyambung lagi.

‘Manusia ini biasalah, kalau lazim buat perkara yang sama dia akan mudah jemu bahkan jika sudah keterlaluan dan dipaksa (melalui situasi) ia bakal mengundang jemu yang kronik dan marah. Tengok wajah isteri pun akan jadi meluat jika muka itu yang sering ditatap setiap masa. Muka itu jugalah yang sering melahirkan masalah’ saya menambah muqaddimah agar dia boleh menangkap.

‘Ya tak yelahkan. Kalau sekali-sekala saja bertemu mesti ada rasa rindu’ Dia pula yang menghabiskan kalam penutup saya, bermakna dia mulai faham.

‘Isteri rindu pada suami, dan suami pula akan ternanti-nanti ingin berjumpa dengan isteri, juga kerana rasa rindu yang sama. Saling rindu-merindui walaupun dijarakkan oleh kesibukkan masa’ Tambah saya lagi. Saya mengiakan di dalam hati. Dia sudah menjawab persoalan yang ia sendiri lontarkan. Wajahnya berubah manis dengan senyuman.

Bermakna, isterinya bakal menjadi mangsa ‘tinggalannya’ nanti, isteri pula yang akan risau. Justeru, Isteri sewajarnya merasa bangga kerana pemergian suami meninggalkan seketika sanak keluarga bukan dengan tujuan membuka “cawangan” baru, tetapi kerana komitmen dakwah ke jalan yang satu. Alah, kalaupun mahu membuka cawangan apa salahnya, lebih lebarlah sayap ‘francais dakwah’ yang dapat disebar-luaskan.

Suami yang membaca entri ini jangan pula berubah fikiran daripada tujuan tajahhud bi dakwah, kepada tujuan ta’addud bi zaujah. Jangan sesekali ya!


Sibuk yang Melahirkan Rindu

Meniti hari-hari sebagai pasangan berkeluarga tanpa insan tersayang di sisi tentunya merasakan hari tersebut tidak lengkap. Bahkan pasti akan timbul rasa cemburu melihat pasangan lain yang senantiasa didampingi oleh suami masing-masing. Masakan tidak, suami sebagai leader in family tentulah suami juga sabagai tempat mencurah kasih serta perasaan untuk setiap keadaan. Bermakna jika sesaat suami hilang dari sisi, isteri akan menjadi ralat. Mahu mengadu masalah pada anak-anak, mana mungkin kerana si kecil itu tidak faham apa-apa.

Pastilah pada suami sahaja ruang untuk mengadu nasib dan pendengar yang setia kepada si isteri. Percayalah wahai suami, isteri akan merasa lega yang teramat apabila anda sudi mendengar masalah mereka walaupun anda sendiri tidak mampu menyelesaikannya. Tetapi, suami jarang dapat duduk bersama kerana komitmen dakwah, isteri terus menahan rindu. Menanti kepulangan suami dengan senyuman.

‘Minggu depan Abang akan ke Sabah pula’ ujar si suami. Baru 3 hari lepas si suami dihantar bekerja luar di Port Dickson, selang dua hari di rumah sudah mahu ke Sabah. Begitulah lumrah si suami sejak diletakkan di bawah Unit Dakwah, JAKIM.

‘Mudah-mudahan ALLAH senangkan urusan Abang. Ina doakan Abang selamat’ Balas si isteri. Itulah harapan dan bunga-bunga semangat yang selalu dilafazkan setiap kali suaminya akan bekerja jauh.

‘Ina tak kisah ke kalau hidup keluarga kita tak seperti orang lain. Tak selalu dapat bersama?’ luah si suami. Sememangnya dia merasa bersalah.

‘Abang jangan kata macam tu. Ina tak pernah rasakan yang hidup kita tak bahagia. Ina redha dan percaya pada Abang’

Ini cuma sebahagian petikan drama melayu yang saya tonton kira-kira beberapa tahun yang lalu. Namun, saya yakin si suami pasti mendambakan seorang isteri yang memahami seperti dalam dialog di atas. Dalam hati suami akan berkata: ‘Oh, alangkah bahagianya!’

Habis.

Saya mahu berkongsi pandangan bahawa kesibukkan seperti inilah yang akan melahirkan kerinduan. Saya juga pasti bahawa anda (wahai isteri) tidak akan mencapai suatu rasa dinamakan “kerinduan yang Asyik” jika anda tidak terlebih dahulu mengalami situasi ditinggalkan suami (kerana kerja-kerja ISLAM). Terus saya mengatakan ‘rindu asyik’ ini lebih bahagia impaknya berbanding rindu-rindu biasa.

Rindu Asyik ini bukan rindunya yang berbaur dengan kerisauan atau kebimbangan dek kerana ditinggalkan suami, tetapi rindu yang sentiasa mengharapkan kepulangan orang yang tersayang kerana belum puas menunaikan dan menumpahkan rasa kasih sayang kepada suami. Oleh kerana keterbatasan masa dan kesibukan suami dalam kariernya, maka masa untuk bersama suami yang sedikit itu digunakan sebaik-baiknya untuk menghargai suami. Akhirnya di sebalik kesibukkan si suami maka terbitlah rasa rindu di hati isteri dan tanpa sedar ikatan mereka semakin kuat dan kukuh.

Walaupun dipisahkan dengan jarak masa dan tempat, si suami tidak akan merasa bimbang kerana dia sudah ada orang yang merinduinya dari jauh. Si isteri pula tidak akan risau, kerana Suami yang setia dengan kerja dakwah pasti akan setia dengan sayap kirinya yang juga merindui.

Akhirnya, saya amat menyanjung hormat dan memuji teman-teman saya yang berkahwin pada usia muda ini (semasa belajar), lebih-lebih lagi mereka yang duduk berasingan dan berpisah jauh daripada suami tercinta. Seorang di Timur Tengah dan seorang lagi gigih di Tanah Air Malaysia. Mereka sudah dapat merasakan separuh daripada apa yang dikatakan cinta sejati dan erti sebuah kesetiaan.

"Leave her a moment"

___________________________

p/s: rindu sekarang sudah tak sama macam rindu dahulu. dulu lebih hebat kualitinya kerana diuji oleh jarak masa dan tempat. sekarang sudah lain, suami seolah-oleh berada di sisi (HP dalam poket) sentiasa. HP sudah mengurangkan nilai kerinduan. bayangkan bagaimana hidup di zaman Hang Tuah apabila ditinggalkan suami bertahun-tahun tanpa sebuah Hand Phone.. rindu?

p/s: bila ada yang menyebut tentang ‘buka cawangan’ terasa ingin menulis sesuatu tentangnya. Mungkin di masa akan datang, tajuknya sudah ada dibayang-bayang: (HIKMAH POLIGAMI: LELAKI TAK AKAN ‘CUKUP’ DENGAN YANG ‘SATU’). Teman ikhwah yang mahu berkongsi ilmu dipersilakan, apatah lagi pandangan daripada sisi akhowat, lebih saya alu-alukan!!

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

ISTERI BUKAN HAK MILIK, TETAPI ANUGERAH (1)

>> Friday, December 18, 2009


Sebelum tutur saya tentang anugerah dan soal isteri, anda atau pasangan ibu dan bapa perlu dahulu mengucapkan rasa bersyukur, gembira dan beruntung apabila dikurniakan dengan seorang anak perempuan. Apatah lagi si kecil kecil itu comel dan mempunyai lesung pipit, mukanya pula iras-iras bondanya yang cantik lagi ayu. Tidak hairanlah jika si bapa bersungguh-sungguh untuk memikat si ibu dahulu.

Sesungguhnya, selepas kedatangan ISLAM dan kehadiran Nabi saw ke persada dunia ini, wanita telah diangkat ke atas darjat yang tinggi di sisi ISLAM. Anak perempuan tidak lagi dibunuhi seperti seribu empat ratus tahun dahulu bahkan dijagai dan ditatangi serta dibelai sebaik-baiknya.

Wanita adalah manusia sama seperti lelaki. Mereka punyai jiwa sebagaimana lelaki juga punyai jiwa. Namun jiwa, perasaan, naluri dan fitrah mereka amat berbeza dan unik kerana terlalu halus dan lembut sesuai dengan ciptaan mereka. Kurniaannya (wanita) ini kepada sesiapa adalah sebuah nilai yang tiada tara dan tandingnya. Kita berasal dari rumpun yang sama, cuma berlainan gender sahaja. Mesti saling memerlukan, kerana TUHAN menciptakan salah seorangnya ada kekurangan yang mesti ‘diambil’ daripada salah seorang. Tanpa wanita siapalah lelaki? - (ayat yang famous!!)

Lalu, si anak kecil perempuan adalah kurniaan yang dinamakan anugerah.

Wanita adalah anugerah.

Isteri bukanlah hak milik, tetapi anugerah kepada suami.


Men Are From Mars, Women Are From Venus

Ini sebuah tajuk buku karangan John Gray yang membincangkan berkenaan perbedaan lelaki dan wanita dalam ruang lingkup yang spesifik. Beliau bukan sekadar mengupas aspek kelainan atau perbezaan semata-mata tetapi merungkaikan ada titik persamaan antara lelaki dan wanita.

Kata John Gray, Lelaki datang dari Tanah Mars, manakala perempuan pula datang dari Tanah Venus. Tetapi mereka boleh disatukan di tanah bernama Earth. Kesamaan dan penyatuan yang menghasilkan titik temu ini adalah berpunca dari sikap saling memerlukan dan saling menampung. Orang lelaki berkata:

‘Kalau tiada Adam, maka tak akan ada Siti Hawa’

Perempuan pula mempertahankan bahawa: ‘Kalau tiada Siti Hawa, tiadalah juga lelaki yang berkata tadi’

Bidalan yang lain pula: ‘Antara Ayam dan Telur, siapa dulu?’

Jawapannya pasti akan mencetuskan pergaduhan antara Parti Ayam dan Parti Telur. Masing-masinng mempertahan hak mereka bahawa merekalah yang ‘dahulu’

‘Kalau tak ada Ayam, macam mana nak ada telur? Bukankah ayam yang menetaskan telur?’

‘Habis tu, ayam tadi berasal dari mana? Tak kan dilahirkan oleh sang itik? Mesti dari telur ayam juga’ balas si Parti Telur mempertahankan hujah. Peperangan ini tidak akan berhenti jika tidak dinoktahkan dengan titik persamaan. iaitu;

Saling memerlukan. Aku ngerti kamu, kamu ngerti aku. Aku perlu kamu, kamu perlu aku.

Mengapa perlu bertengkar soal siapa dahulu? Apa yang kita dapat jika kita sudah dipastikan bahawa kita sudah menjadi pendahulu? Bangga? Itu sahaja. Selepas mengetahui pendahulu, adakah kita akan terus hidup berseorangan tanpa mahu mengharap sesiapa?

Jawapannya bukanlah menjadi siapa pendahulu tetapi, mencari kekurangan yang boleh ditampung agar cukup kesempurnaannya. TUHAN menjadikan wanita dengan kekurangannya sendiri, dan lelaki dengan kekurangannya sendiri. Jika wanita dan lelaki itu diibaratkan seperti abjad susunan A,B,C hingga Z, maka akan ada huruf-huruf yang mempunyai persamaan antara lelaki dan wanita. Mungkin dari huruf A ke Z, ada tujuh huruf yang sama dan mungkin juga lebih daripada tujuh huruf.

Tinggalkan soal yang sudah tentu sama. Kerana kedua-duanya sudah ada. Pergi pula kepada kekurangan dan kelainan atau perbezaan.

Dalam abjad A hingga ke Z, lelaki pasti terdapat huruf-huruf yang tidak ada pada mereka, begitu juga wanita. Misalnya lelaki tiada huruf H, S, N dan lain-lain lagi tetapi pada wanita akan ada huruf-huruf yang hilang atau tiada pada lelaki tadi, iaitu huruf H, S, dan N. Jadi, pada siapa mahu diminta dan diambil huruf-huruf tadi agar menjadi lengkap dan menemui titik persamaannya, jika bukan terletak pada salah seorangnya iaitu LELAKI dan WANITA.


Anugerah

Saya berfikir tentang perbezaan dua kalimah itu, HAK MILIK dan ANUGERAH tetapi tidak menemuinya, walaupun berat merasakan di situ ada kontra dan kelebihan daripada salah satu perkataannya. Saya tidak mampu menghuraikannya dalam masa sekarang kerana belum menjumpai kesinambungan dua kata itu. Sudahnya saya hanya membawakan ia sebagai tamsilan sahaja.

Anugerah adalah PEMBERIAN dan HARGA kerana ia bukan hak kepunyaan.

Hak Milik adalah PEMILIKAN yang belum tentu DIHARGAI.

Siapapun akan memandang anugerah sebagai nilai yang paling berharga. Anugerah akan dirasakan begitu berharga selepas disusahi dengan pelbagai usaha dan titik peluh sendiri. Anda seorang pelajar, dengan usaha gigih anda akhirnya disandangkan dengan Anugerah Dekan pada tahun menuntut di Universiti tersebut. Pertamanya gembira kerana dihargai, kedua kerana dianugerahkan sesuatu yang berharga. Kerana itulah syurga merupakan sebuah anugerah bukanlah balasan. Masuk ke syurga bukan kerana panjang dan beratnya amalan, tetapi kerana syafaat (anugerah) ALLAH taala.

Saya pasti antara gula-gula yang dibeli sendiri (hak milik sendiri) dengan gula-gula yang dihadiahkan (anugerah) daripada orang yang tersayang, anda akan lebih menghargai pemberian gula-gula daripada insan tersayang, apatah lagi jika orang itu bakal menghargai anda suatu masa nanti dan dia banyak bersusah payah demi anda.

Teman-teman saya yang sudah mabuk cinta, sampaikan tiket komuter pemberian kekasihnya pun masih disimpan rapi di dalam dompetnya. Tiket itu ada nilai harga dan abstarknya tersendiri yang dia sahaja tahu dan orang lain tidak nampak kerana ia sebuah harga dan anugerah.

Anda boleh menyayangi hak milik, tetapi anda akan lebih menyayangi sebuah anugerah kerana harganya tersendiri. Percayalah, anugerah tidak sesekali diberikan melainkan orang-orang yang dipilih. Kerana itu anda perlu berbeza cara untuk menghargai sebuah HAK MILIK dan sebuah ANUGERAH.


Saya dan Wanita

Sehingga kini saya amat berhati-hati dengan wanita. Sesekali jujur mengatakan saya takut dengan kaum ini, bukan takut kerana fizikalnya tetapi amat bimbang dengan emosi dan perasaan mereka. Lebih menjadikan saya serba salah, apabila mereke terguris atau berkecil hati dengan sikap saya. Ini bukan soal dayus, tetapi sikap.

Saya punyai bonda yang saya perlu hormati perasaan juga emosinya. Lagi-lagi bonda mempunyai majority hero-hero di dalam keluarga. Anak Lelaki, biasalah bukan suka memikirkan soal perasaan bondanya berbanding anak perempuan, caring-nya akan melebihi diri. Tetapi saya cuba belajar memahami perasaan seorang bonda agar saya dapat memahami naluri halus wanita.

Bonda mengajari agar, biar saya selalu mengalah. YA, itu yang cuba saya praktikkan apabila berurusan dengan sesiapa terutama wanita. Bertahun bekerja di dalam sebuah persatuan menuntut saya untuk memberi sebuah komitmen yang perlu kepada nilai berhemah dan menghormati. Saya perlu berhemah kepada lelaki, dan perlu menghormati seorang wanita.

Abah dan Bonda adalah Anugerah ALLAH untuk saya, tetapi bukan Hak Milik saya selamanya. Lalu saya amat menghargai pemberian itu bahawa suatu hari nanti mereka akan ‘dipulangkan’

p/s: ‘ISTERI BUKAN HAK MILIK, TETAPI ANUGERAH’ sebuah dialog dipetik dari filem CINTA arahan pengarah terkenal Kabhi Bahtiar, Drama berepisod Nur Kasih juga di bawah arahannya. Saya berinspirasi untuk menulis sesuatu mengenainya. SALAM tahun baru Hijrah 1431 hijriah, buatlah apa sahaja yang baik-baik, asalkan ianya lebih baik daripada semalam. Inilah perubahan, ini juga sebuah hijrah dalam KEHIDUPAN.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

KEGEMBIRAAN DAN KETENANGAN

>> Thursday, December 17, 2009


Orang yang susah tidak akan rasa GEMBIRA,

Orang yang senang belum tentu GEMBIRA,

Namun, orang yang TENANG sudah tentu rasa GEMBIRA dan senang,

Orang yang TENANG akan merasai gembira walau dia dalam kesusahan,

Namun, orang yang GEMBIRA belum tentu rasa TENANG bila kesusahan,

Orang yang susah akan jua merasai KETENANGAN,

Orang yang TENANG pasti akan GEMBIRA ketika senang dan susahnya,

GEMBIRA boleh dikecap ketika senang,

Tetapi TENANG boleh dikecap ketika senang dan susah,

GEMBIRA itu cuma perasaan hati,

TENANG itu fitrah dan naluri hakiki.


Nilai Sebuah Perasaan

Seorang ibu dapat merasai ketenangan dalam apa jua keadaan. Ketika ketiadaan anak-anak di sisi dan dihurung sunyi, mahupun di kelilingnya dipenuhi dengan riuh anak-anaknya, dia tetap beroleh ketenangan. Dia mampu tersenyum sewaktu duduk seorang diri, dia juga akan tersenyum apabila anak-anaknya pulang ke kampung halaman. Ternyata kedua-duanya menggambarkan ketenangan insan yang dinamai bonda.

Ketenangan yang dirasai bonda redupnya akan berpanjangan dan kekal. Hingga ke akhir hayat pun, jiwa jua hatinya cukup serasi menjadi teman walaupun hanya bersama ketenangan. Makan minumnya adalah ketenangan jiwa dan kekayaan senang di hati.

Selama ibu merasa tenang, selama itulah ibu tak perlukan sesiapa mendampingnya di sisi. Anak-anaknya pun akan tewas, lantas apabila anak bongsunya punyai masalah dan keserabutan jiwa, bonda dulu akan dicari dan didakap. Mengambil sedikit ketenangan dari bondanya. Ketenangan bonda tidak jua berkurang walaupun seberapa banyak tenang yang dikongsikan.

Siapa pun tidak tahu apa rahsia ketenangan seorang bonda. Kalau hendak selalu melihat, ibu tidaklah selalu gembira, namun di wajah ibu tetap menggambarkan ketenangan yang mirip-mirip seorang sufi. Bonda persis di payungi malaikat yang sentiasa tenang.

Ibu tiada harta yang menggunung-gunung untuk memikat hati agar senang, tetapi cukup hati yang satu untuk menggapai tenang.


Kaya yang Gelisah, Miskin yang Tenang

Kalau dihitung-hitung, semua yang mahu di hati, sudah ada di depan mata. Cuma satu yang dicari belum ketemui. Iaitu rasa. Iaitu fitrah dan Naluri.

Mencari rasa damai.

Mencari sesuatu yang boleh memberi senang dan tenang.

Dia mencarinya di tengah-tengah harta dan kekayaan yang dipunyai selama ini, tetapi tiada! Pada duitnya, sahamnya yang berjuta-juta, pada anak-anaknya yang berjaya, pada isterinya pula yang berpangkat Datin, semuanya tidak ada malah hati terasa lebih terasing dan gulana. Mungkin dia lupa bahawa nilai metarial itu tidak mampu menghasilkan sebuah spirit yang bernama ketenangan.

Terhenti pencariannya.

Sedari dulu, dia tidak pernah mengharapkan orang lain. Sepanjang hidup hanya ‘rasa cukup’ yang menjadi buah ketenangan menghadapi kesusahan. Bahkan ketika dilanda susah hatinya bertambah yakin dengan pemberian-Nya lalu ia bersyukur. Pantas dia memperoleh apa yang dimahukan iaitu ketenangan dalam kesusahan.

Dia miskin harta, tetapi tidak miskin jiwa dari rasa ketenangan.

Dia kaya dengan jiwa yang tenteram dan tenang, walaupun tidak kaya dengan harta.

Baginya syarat mendapat ketenangan adalah rasa cukup dan biasa bersyukur. Syukur perolehannya selalu tidak pernah mengecewakannya daripada mendapat apa yang dihajati. Dia memperoleh ketenangan melalui jalan susah dan jalan senang. Kedua-dua jalan itu bisa memberikan ketenangan dalam diri.

Dia yakin kepada-Nya yang memberikan ketenangan atas cariannya. Dia bahagia dengan kesusahan yang memberikan ketenangan kepadanya, tetapi dia akan gelisah bila kegembiraan yang tiada membuahkan ketenangan jiwanya.

Pencariannya akan terus menerus sehingga menemui hakikinya jiwa yang tenang.


Bahagia dan Ketenangan Yang Hakiki

Kalaulah ketenangan itu letaknya pada kekayaan, nescaya Qorunlah manusia yang paling mendapat ketenangan kerana dia memilik segala kekayaan.

Kalaulah kekuasaan itulah yang memberikan sebuah ketenangan yang abadi, nescaya Firaun layak diberikan nilai ketenangan itu, kerana segala kekuasaan ada pada kehendaknya.

Kalaulah sebuah kesihatan itu dapat menyarungkan ketenangan kepada pesakitnya, nescaya ubatlah yang layak memberi ketenangan itu, kerana dialah yang manusia sangkakan dapat menyembuh segala penyakit.

Jikalaulah duit itu mampu membeli segalanya, namun ada satu yang abstrak belum bisa dibeli oleh si duit. Duit hanyalah nilai kebendaan, lalu ia tidak sesekali boleh memebeli nilai kejiwaan. Duit tidak akan mampu membeli walau secubit ketenangan.

Jikalau sebuah ketenangan itu boleh dibeli oleh kejayaan manusia, nescaya ramai manusia yang berjaya (tetapi sesat) beroleh ketenangan. Tetapi kejayaan itu terlalu kecil nisbahnya untuk membeli sebuah ketenangan.

Ketenangan itu diberi pada nilai yang berkat, sisa yang bersih dan hati yang suci. Ketenangan itu diberi kepada yang mencari kebenaran. Biasanya ia ada dalam sebuah kesusahan kadangkala wujud jua dalam kesenangan. Jangan katakan kegembiraan itu sama dengan sebuah ketenangan, tetapi katakan ketenangan itu akan membuahkan kegembiraan. Jangan katakan kegembiraan itu adalah kegembiraan, tetapi katakan ketenangan itu ada gembira di dalamnya.

KEHIDUPAN yang hakiki adalah yang punyai jiwa ketenangan di sepanjang likunya. Kerana itu liku yang dilalui tidak semestinya senantiasa mudah. Apa jua kesulitan jika diberikan berkat oleh-Nya pasti akan ada ketenangan di situ.

Kerna suatu hari nanti kita akan dipanggil, menuju ruang damai yang tenteram lagi hakiki selamanya. Bila tiba di teratak Mahsyar, TUHAN memanggil jiwa-jiwa itu:


‘WAHAI jiwa yang tenang, kembalilah kepada (Tuhan-mu) dengan hati yang redha yang diredha-Nyai masuklah ke dalam golongan hamba-hambamu, masuklah ke dalam taman syurga ini (syurga-Ku)’

(al-Fajr)

afiq saleh - 0148 am

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

BIASALAH, DAH JADI TABIAT ORANG ‘KITA’

>> Tuesday, December 15, 2009


SKETSA ORANG KITA

Orang ‘kita’ memang begitu. Orang kita juga memang begini. Tak lari jauh. Pusing-pusing ikut situ juga. Sama saja tingkah lakunya, tetapi untuk tidak mengguriskan sidang pembaca, saya letakkan frasa ini, ‘mungkin bukan semua orang kita begitu’.

Tapi orang kita selalu begini. Apa dia? Beginilah, begini:

• Susah hendak menegur kesalahan atau kesilapan orang lain, katanya: ‘takut tersinggung pula, kecil hati kawan tu’

• Payah bangat* mahu terima teguran, sehingga ada yang melenting tanpa dijerkah. Katanya: ‘Jangan sibuk jaga tepi kain orang, basuh dulu kain sendiri’

• Rasa diri terlalu hina bila ditegur, katanya: ‘Kau ini budak hingusan lagi, mana layak nak tegur-tegur aku. Pergi balik!’

• Tingginya Ego bila sesekali ditegur apabila dia membuat kesalahan, katanya: ‘Pengalaman aku lagi banyak dari dia, siapa dia nak halang (tegur) aku?’

• Berfikir dulu bila mahu menerima teguran seseorang, katanya: ‘Dia pun lebih kurang aku je, tak pergi kelas juga. Dua kali lima, cakap tak serupa bikin’

• Takutnya apabila disuruh menegur sesuatu, katanya: ‘bimbang orang kata padanya poyo dan berlagak baik. Nak menunjuk-nunjuk konon!’

• Ada juga yang rajin menegur, pantang silap dia terus bersuara. Katanya: ‘benda baik, apa salahnya kan? Kita buat atau tak buat itu ketepi dulu, yang penting kita menegur, lepas tanggungjawab bila TUHAN tanya nanti’

Ada juga orang kita yang begini,

• Selalu sahaja mengkritik, ada sahaja yang tidak kena pada pandangannya. Buat itu salah, buat ini juga tidak kena. Yang betul macam mana? Apa jawabnya: ‘Errr, entahlah!’

• Suka mengkritik kerja tangan orang lain, kritikannya terlalu banyak bila diberi peluang bercakap, idea kritikannya juga bernas belaka. Cuma satu saja kurangnya, bila sudah memberi komen, tidak tahu pula bagaimana mahu memberi jalan penyelesaian terhadap kritikannya tadi. katanya: ‘Aku dah komen ni kira baiklah. Pandai-pandailah nak betulkan’

• Sebahagiannya suka menegur di belakang-belakang, takut nak bersua muka. Katanya: ‘takut berkecil hati bila tegur depan-depan’ baguslah begitu daripada tidak menegur langsung. Sekurang-kurangnya niat itu baik.

Kata Nabi saw:

‘Apabila kamu melihat kemungkaran, cegahlah (tegurlah) kamu dengan tanganmu (kuasamu), jika tidak berdaya gunakan lisanmu (lidah atau percakapan). Jika tidak berdaya juga, cukuplah dengan hatimu (membenci kemungkaran itu). Maka itulah selemah-lemah iman’


JANGAN RESAH GELISAH

Maka, jangalah khuatir untuk menegur manusia. Bukankah ALLAH sudah menyebutkan bahawa manusia itu nisyan (pelupa) sifatnya. Lupa sesuatu, lupa sehingga 'terberdosa', lupa bahawa yang dia lakukan itu adalah kesalahan, lupa bahawa itu sebenarnya dosa, lupa segala-galanya.

Lalu, teguran itu adalah sekadar mengingatkan. Kalau benar teguran itu apa salahnya diikut. Bahkan jika ia memberi mudharat dan menghasilkan kebaikkan, tidak pula rugi untuk dijadikan ikutan.

Janganlah terlalu memikirkan sangat, apabila kita ditegur kita seolah-olah sudah melakukan dosa atau kesalahan yang besar. Janganlah terlalu emosi, dengan menganggap apabila kita ditegur air muka kita akan jatuh sejatuh-jatuhnya. Lagi-lagi apabila lelaki ditegur oleh wanita. Tercabar kelakian seorang lelaki, dengan kata lain jatuhlah kemachoan kaum adam. Ah! Lelaki memang sukar mahu menerima teguran daripada seorang wanita kerana satu sifatnya: EGO

Sebab itulah suami hanya mahu menang dalam setiap perbincangan rumah tangga, suami akan berkata bahawa hasil usaha dia sahaja yang betul dan terbaik. Akhirnya si isteri dengan rendah diri menundukkan muka apabila si suami dengan EGOnya memberi kata-kata penutup:

‘Kamu jangan derhaka pada suami, besar dosanya Tipah’

Tipah diam tidak terkata. Mahu menegur suaminya yang selalu boros berbelanja, pun dikatakan salah dan derhaka. Alahai… Tipah tertipu lagi dengan suaminya.

Dengan alasan, 'arrijalu qawwamuna a’la nisa' (lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita). Maka lelaki akan memenangi semua perkara. Lelaki akan mengambil kesempatan untuk mengatasi segala aspek daripada kaum wanita. Sehinggakan pendapat kaum hawa diketepikan dahulu atau dibakul sampahkan terus.

dasar Eksploitasi yang salah!!

Itu baru soal orang perempuan memberi pandangan dan pendapat, belum lagi soal menegur kaum lelaki. Kalau boleh mahu berperang menegakkan hak masing-masing.

Habis.


OHH! SALAH FAHAM RUPANYA...

Ada orang yang mahu menegur kesalahan orang lain, lantas kawannya yang seorang itu mengingatkan kepadanya yang mahu menegur:

‘Kau ni Karim, suka benar tegur-tegur orang buat salah. Diri-sendiri tak betul lagi. Kau kena ingat Karim, cakap kalau tak buat ALLAH murka’ Karim pula kecut perut, mengiyakan kata temannya itu, temannya itu terus membacakan dalil ayat al-Quran kepada Karim.

‘Besar kemurkaan ALLAH kepada orang (mereka-mereka) yang bercakap tetapi tidak menunaikan apa yang telah dikatakan (cakap tak serupa bikin)’ (as-Soff: 2-3)

Karim tidak jadi mahu menegur. Akhirnya berlalu. Teman sebelah biliknya yang lena di kala Subuh itu dibiarkan terus lena. Subuh entah ke mana.

Janganlah jadikan dalil ini untuk menakutkan diri supaya tidak menegur sesiapa yang melakukan kesalahan. Kebanyakkan orang yang tidak jadi menegur dan lemah semangat untuk menegur terbantut apabila berhadapan dengan dalil ini. Persoalan pokoknya, kenapa jadikan dalil TUHAN yang mulia ini sebagai pelemah diri, bukankah elok ia diletakkan sebagai pemotivasi diri?

Jika kita mahu menegur teman-teman yang lewat menunaikan sembahyang tetapi kita takut dalam masa yang sama kita pun pernah sekali-sekala melewatkan fardhu sembahyang, bukan jalannya anda tidak perlu menegur terus. Tetapi, teguran tetap dilaksanakan dengan cara dalam masa yang sama anda sedang berusaha memperbaiki amalan sembahyang anda untuk ditunaikan di awal waktu.

Itulah motivasi namanya. Jangan jadikan ancaman TUHAN sebagai pelemah semangat. Jangan jadikan cerita-cerita azab ALLAH kepada manusia sebagai pemati untuk terus beramal tetapi jadikannya sebagai penguat, pendorong dan pemotivasi untuk terus meningkatkan amal kebajikan dan meninggalkan kemungkaran.

Habis.

‘Bangah, Ummi suruh bangah sembahyang cepat. Waktu asar dah nak habis’

‘Kau tu budak lagi, sibuk nak tegur-tegur abang ni kenapa?’

Apa reaksi anda jika suatu hari nanti, apabila anda bertemu dengan seorang mat pit (mat dadah), lalu dia menegur anda. Apa agaknya rasional dan tindakan anda bila situasi itu berlaku pada batang tubuh anda, kata Mat Pit itu:

‘Hello brother! Sini kejap gua nak pesan. Lu jangan ikut macam gua, hisap rokok, hisap dadah, tak semayang. Tak elok bro, Lu orang Islam Lu mesti semayang. Lu jangan jadi macam gua. Ingat pesan gua ni bro’

Adakah anda akan menjawab begini:

‘Apalah mamat ni, tak sedar diri langsung. Nak nasihat orang, tapi dia pun rosak! Hampeh’

Ataupun,

‘Oh! Betul juga apa yang brother tu cakap. Sekurang-kurangnya ini peringatan buat aku yang lupa’

Kata Saidina Ali karramallahu wajhah:

‘Jangan kamu melihat siapa yang menegur kamu, tetapi pandanglah apa yang ditegur (isi teguran) olehnya’

Konklusinya begini. Jika anda memandang orang yang menegur itu lebih utama posisinya untuk pertimbangan anda dalam menerima teguran, sampai bila-bila kita akan terus menjadi orang yang sukar untuk menerima teguran. Begitu juga sebaliknya, jika yang dipandang adalah teguran, dan nasihat itu adalah kepentingan yang paling utama dalam pertimbangan anda menerima nasihat atau teguran, maka anda adalah orang bijak dalam memotivasikan diri anda.

Mudah, anggap saja teguran itu bukan dari datang siapa-siapa, tetapi datangnya dari ALLAH. Cuma DIA menyampaikan teguran itu melalui wasilah sahaja. Sebenarnya kalau boleh ALLAH mahu menegur direct kepada manusia, ALLAH boleh saja mahu menegur begini:

‘Wahai Karim, jangan kamu tinggal sembahyang nanti kau akan AKU masukkan ke dalam neraka yang paling bawah sekali. Faham!’

Tetapi TUHAN itu Maha Bijaksana, dia hantarkan Mat Pit (Mat Dadah) tadi untuk menegur. Jadi, lainlah sikit telo dan loghatnya: (rujuk dialog Mat Pit di atas)

Makna dan maksud teguran itu tetap juga sama: JANGAN TINGGALKAN DAN LEWAT KAN SOLAT!!

Lalu, adakah anda perasan jika anda menolak nasihat dan teguran daripada Mat Pit itu bahawa anda telah menolak teguran ALLAH??

Tanyalah diri dan iman anda. KEHIDUPAN anda, anda lebih memahami caranya!

p/s: siapa 'orang kita' tu?

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

SUAMI ISTERI : KITA SEBENARNYA MALU NAK ROMANTIK !!

>> Sunday, December 13, 2009


Saya hanya mahu menduga dan menulis sebuah pandangan yang saya lihat dan perhati, juga apa yang saya research melalui pembacaan saya. Mohon maaf pada pasangan yang sudah berkahwin dan couple (maksud saya wife & husband) yang masih merah berinai atau saya khususkan kepada pasangan veteran suami isteri, jika artikel menyalahi apa yang telah dilalui anda sepanjang melalui bahtera perkahwinan. Maklumlah saya masih bujang, belum ada pengalaman dalam selok-belok berumah tangga.

Namun, jika artikel ini jauh menyimpang, anda boleh mengabaikannya sebagai persepsi yang datang dari orang bujang yang masih mentah erti perkahwinan. Jika betul, apa salahnya diambil sebagai garisan pedoman, agar gerbang pelayaran anda akan dihiasi keindahan sepanjang mengemudinya.

Saya tidak kisah sangat, jika ada yang sudah bertitile atuk atau nenek, pun masih boleh mencubanya di rumah, mudah saja. Tetapi mungkin sikap anda saja yang menghalangnya, menghalang untuk membina suasana romantik dalam syurga dunia. Ayuh!


Kenapa Malu-Malu / Segan-Segan, Diakan Sudah Halal?

Saya tidak mahu menyalahkan atau melebihkan sesiapa di dalam hal ini, tetapi apa yang selalu diperhatikan, masalah pasangan bersikap dingin dan ‘malu untuk beromantik’ kerap berlaku di kalangan orang agama. Malu katanya. Tidak kiralah ustaz mahupun ustazah.

Maaf, saya juga tergolong dalam kumpulan itu, jadi saya minta ruang untuk menegur.

Saya kadangkala, cemburu melihat pasangan muda-mudi (bukan golongan agama) yang bahagia mereka itu lebih lama dan panjang daripada kita. Romantik mereka lebih intim daripada kita. Kalau 'kita' berjalan ke pasar, selalunya seorang akan di depan dan seorang lagi di belakang, tetapi mereka bukan setakat beriringan bahkan berpimpin tangan dan memaut pinggan, mereka tidak malu. Kata mereka apa mahu malu? Kami sudah halal. Saya pasti anda mungkin belum pernah lagi melihat pasangan ustaz atau ustazah makan bersuap atau jika ada pun jarang kita jumpa.

Betul dan tepat sekali. Sudah halal.

Namun, tidaklah saya meminta anda supaya menunjuk-nunjukkan kemesraan pasangan anda di hadapan orang, saya tahu ada orang yang akan menghukumnya sebagai BERDOSA!!. Tetapi anda boleh menjaminkah, bahawa jika anda berdua di rumah anda akan semesra itu?

Pesan saya kepada semua pasangan terutama yang sealiran dengan saya, jangan berikan alasan bahawa suami sibuk berdakwah dan isteri penuh berusrah untuk tidak memesrai isteri atau suami di rumah. Kerana nilai ini adalah satu keperluan dan hiasan rumah tangga anda walaupun ia nampaknya picisan. Jika itu alasan anda, maka sampai bila-bila tidak akan wujud rona romantik dalam ‘syurga yang anda bina’ nanti.

Tetapi inilah yang kerap berlaku, mungkin antara sebab-sebabnya adalah yang ini:

Suami yang ego bimbang dikatakan menggatal sedangkan hati kecilnya berkata mahu, begitu juga si isteri yang malu mendahului takut dikatakan mengada-ngada. Akhirnya kedua-duanya membatu menyimpan masalah hati masing-masing, lalu membuahkan suasana sekeliling di dalam rumah yang sentiasa dingin dan hambar. Susahkah mahu mengucapkan sayang atau pujian untuk pasangan?

‘I love you honey’ (ini adalah ucapan yang paling-paling mudah dah masyhur)

‘Abang suka kalau awak selalu begini dan begini…..’

‘You nampak cantik malam ni’

‘Abang ada surprise untuk Sofea for anniversary kita nanti’

‘Ila, mari abang tolong ikatkan tudung Ila’

Tetapi lain yang selalu terjadi dalam rumah masyarakat kita, ini bukan sekadar dongengan di dalam cerekarama melayu yang dilakonkan semata-mata, tetapi realiti. Percayalah ini adalah realiti yang sukar diubah.

‘You makanlah dulu dengan anak-anak, I kenyang lagi’

‘Apa pegang-pegang I ni, rimaslah. Tak malukah orang tengok kita?’


‘Sudahlah tu Timah, tak payahlah kamu nak bersolek-solek. Kamu tu dah berumur, geli pula saya menengoknya. Pakai biasa-biasa udahlah, huh’

Inilah penangan (kata-kata) pemati motivasi dan pembunuh suasana romantik dalam rumah tangga. Sudahlah tidak mahu membina suasana, dihambar-hambarkan pula suasana yang sudah tersedia kusam!!

Anda percaya tak kalau saya katakan bahawa Nabi saw juga manusia yang romatik dengan isterinya? Eh, zaman dulu ada ke romantik-romantik ni? ADA, Cuma dulu tak dijumpai lagi perkataan romatik, tapi sudah ada pengamalannya.

Apa yang Nabi Muhammad saw romantik? Kalau saya ceritakan, mungkin ada di kalangan pasangan suami isteri yang tak mampu hendak buat. Tapi saya ceritakan juga, untuk semangat motivasi anda yang masih belum romantis. Nabi saw dikatakan pernah mandi bersama dengan Siti Aisyah di dalam satu bejana. Anda pernahkah? Mungkin dalam satu kamar mandi pun tidak pernah barangkali.

Cukup!

Lagi?

Suatu masa, ketika Saidatina Aisyah di usia muda, Nabi saw pernah mengajaknya berlumba lari. Lalu ketika itu menanglah Saidatina Aisyah kerana usia mudanya yang membolehkan dia memenangi perlumbaan itu, kerana tenaga mudanya yang masih segar. Diriwayatkan pula selepas Saidatina Aisyah meningkat usia tua, tubuhnya sudah semakin berisi, Nabi saw sekali lagi mengajaknya bertaruh kembali perlumbaan yang dahulu dikalahi oleh Nabi saw, kali ini Nabi saw mahu tebus kembali kekalahannya, akhirnya Nabi saw berjaya. Eh, tak romantik lagikah kalau sudah boleh berlumba-lumba lari, berkejar-kejaran dan mandi sebejana?

Saya rasa anda juga pernah melaluinya, tetapi hanya berbeza situasi. Mungkin main kejar-kejaran anda itu ketika anda sedang berperang dengan pasangan anda. Bukan sekadar berkejaran, bahkan periuk kuali juga berterbangan.

Orang-orang agama, jangan marah ya! Saya cuma menegur kepada mereka yang tidak tahu dan berikan petua kepada siapa yang mahu.


Siapa Yang Mahu Mulakan Dahulu?

Kalau si suaminya yang ‘pemalu ayam’ maka apa salahnya si isteri yang menjadi pemecah tradisi, biar nanti suaminya akan termotivasi. Ubahlah pepatah melayu, tidak salah saya rasa. Dahulu semasa di zaman-zaman ‘mencari’ tak mengapalah berpegang dengan kata ‘Perigi tidak boleh mencari timba’. Tetapi sekarang sudah lain, anda sudah hidup berdua yang memboleh apa sahaja perlakuan, bahkan berpahala!! Jadi, tiada siapa yang menjadi perigi dan tiada juga yang menjadi timbanya. Dua-dua boleh mencari dan memulakan.

Ah! Kadang-kadang suami juga perlu dipush! selalu.

Duduklah, carilah waktu kosong untuk masa berduaan, ketika anak-anak sudah lelap dibuai mimpi atau sewaktu keluar makan malam sempena anniversary. Mungkin itu masa yang paling sesuai untuk anda dan pasangan ‘membisik’ dan berbincang hati ke hati. Paling kurangpun, jika tiada masa lapang, di kamar tidur sudah memadai untuk beromantik.

Cukup dan memadai saya katakan, anda sudah dikira berjaya jika anda dapat meluahkan dan menceritakan masalah serta apa yang terbuku di dalam hati masing-masing. Sekurang-kurang isteri tahu apa yang pernah dilakukan kepada suami tersayang yang telah melukakan hati si suami. Suami pula faham bahawa hati si isteri pernah terguris suatu ketika dahulu disebabkan si suami lebih memuji masakan kakak iparnya di hadapan ibu mertuanya. Eh, jangan main-main, walaupun hanya sekadar masalah pujian dalam masakan, perempuan mudah tersentuh hati. Jadi, wahai si suami, janganlah puji sembarangan di hadapan sembarangan orang. Nanti ‘memuncunglah’ jawabnya!

Ada orang, setiap malam adalah malam pertama untuk dia dan pasangannya, lalu setiap malam tempat mereka berduaan dan memuhasabah penilaian diri, si isteri menegur suami, si suami pula dengan rasa berlapang dada menerima teguran itu, dan begitulah sebaliknya.

‘Siti minta maaf kalau siang tadi meninggi suara dengan abang’ luah si isteri malu-malu.

‘Tak apa sayang, abang faham isteri abang letih’ si suami dengan rasa terbuka hati memaafkan intan payungnya.

Bagi yang sukar mencari ruang dan masa ‘berbulan madu’ gunakanlah bila mana ada masa berdua walaupun masa itu sempit, namun apa yang paling penting untuk mengindahkan suasana kemesraan dalam perbincangan hati, carilah masa yang anda dan pasangan anda lapang fikirannya ketika itu, supaya tiada nada emosi semasa berbicara soal hati. Ketika itu, kalau mahu menangis sepuas-puasnya pun tak mengapa, bahkan tentu suami anda akan tersentuh dan ‘cair’, bukan cair dengan tangisan anda, tetapi sikap anda yang jujur dan mulus terhadap suami. Masa ini, tidak salah jika si isteri mahu menggunakan air matanya, jika baik apa salahnya kan?. Apa yang kita mahu adalah, sesi muhasabah ini berakhir dengan KEHIDUPAN yang lebih indah dan romantik.

Cubalah rasa sendiri!

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

‘KEZUHUDAN UMAR ABDUL AZIZ, KESEDERHANAAN NIK ABDUL AZIZ’ : TOKOH DI ERA METROPOLITAN

>> Friday, December 11, 2009


Dua Tokoh Unik Di Dua Zaman

i. Tuan Guru Nik Abdul Aziz – (Pandang sisi oleh Annual Bakri Haron)

Menyedari Tok Guru Nik Abdul Aziz, rata-rata dilihat istimewa, bahkan sering membawa gaya ganjil berkelainan, kami cuba membawa kata-katanya itu. Ini kerana lontarannya acap mengundang pelbagai reaksi. Ada juga yang mencemuh dan ramai pula yang terpukau. Dengan latar belakang Islam yang sepenuhnya yang boleh dijejaki daripada biografi hidupnya, tidak syak lagi apa yang keluar daripada beliau adalah kata-kata yang terbit dari hening telaga ilmu berteraskan keimanan dan keyakinan. Tidak mungkin segayung air yang jernih diceduk dari telaga yang keruh, masakan!

Tiada Pemimpin yang menggunakan Islam seistiqomah beliau dalam apa jua keadaan. Sekaligus tiada ulama’ yang memiliki wilayah pemerintahan untuk diuji kekesanan Islam bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul selain NIk Aziz.


ii. Saidina Umar Abdul Aziz – (Pandang isi oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri)

Ketika ditanya soal keturunan yang baik bakal melahirkan generasi yang baik. Ia terbukti bahawa Umar Abdul Aziz lahir daripada keturunan mulia iaitu saidina Umar al-Khattab. Lalu kecemerlangan ini datangnya daripada keturunannya.

Jawapan Tok guru:

Dalam Islam itu ada isu berkat. Ada ayat yang sering kit abaca sebagai contoh doa qunut yang kit abaca pada setiap pagi. Ada satu ayat di hujungnya yang bermaksud, “….wahai Tuhan kami, beri kami keberkatan…” berkat ini tidak diajar dalam sains. Dan ia tidak dapat dikaji dalam makmal-makmal sains. Berkat adalah pemberian ALLAH kepada hambanya melalui makanan yang halal, minuman yang halal, duit yang halal. Daripada sumber yang halal inilah lahirnya berkat. Sebagaimana yang dinasihatkan oleh doktor kepada kita untuk mendapatkan vitamin yang terbaik, kita perlukan makanan yang baik. Makan buah-buahan yang baru dipetik dan sebagainya. Tapi kemampuan mereka terhad setakat itu sahaja. Hanya Islam yang ajar kita untuk mengkaji mengenai berkat. Islam ajar kita supaya beribadat, mendirikan solat, puasa, bahkan berdoa. Kalau mahu ke kebun sekalipun, kita digalakkan berwudhu, keluar dari rumah kita berdoa. Hasil daripada inilah datangnya berkat.

Berkat daripada Umar al-Khatab yang lempar jauh-jauh syirik dan bulatkan hatinya hanya kepada ALLAH melahirkan keturunan yang cemerlang seperti cicitnya Umar Abdul Aziz

Ada satu kisah di mana Umar terdengar seorang anak berselisih pendapat dengan ibunya yang mahu mereka mencampurkan air ke dalam susu. Anak itu melarang ibunya daripada melakukan perbuatan itu kerana Umar al-Khatab tidak membenarkan perbuatan mencampurkan air ke dalam susu. Ibunya cuba mempertahankan perbuatannya dengan meyakinkan anaknya bahawa Umar tidak akan dapat melihat mereka di penghujung malam. Namun, anaknya tetap dengan pendiriannya dengan menegaskan, sekalipun Umar tidak melihat perbuatan mereka itu, tetapi TUHAN Umar melihat apa yang mereka kerjakan.

Umar tertarik kepada kata-kata anak itu. Sekalipun dia tidak melihatnya, apa lagi mengenalinya, namun Umar yakin anak itu memiliki peribadi yang amat mulia. Umar mencadangkan kepada anaknya. ‘Ashim yang belum berkahwin supaya mengahwini itu yang bernama Ummu Ammarah kerana yakin daripadanya akan lahir keturunan yang soleh. Hasil daripada perkahwinan mereka inilah lahirnya Ummu ‘Ashim yang kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, daripada perkahwinan mereka inilah, lahirnya insan mulia bernama KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ.



Umar ini adalah pemimpin yang mula-mula melaksanakan kepimpinan Negara Berkebajikan. Mereka mengajar rakyat bagaimana hidup dalam berkat kemiskinan atau kaya dalam petunjuk dan cahaya.


iii. Saidina Umar Abdul Aziz (Pandang sisi oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang)

‘Saya ingin mencontohi Khalifah Umaiyah, Khalifah Umar Abdul Aziz dalam gerak kerja saya nanti’


iv. Komen saya:

Kalaulah Lim Guan Eng pun punyai azam juga cita-cita mahu mencontohi Umar Abdul Aziz, masakan kita yang lahir dari ketururnan seislam dengan Umar Abdul Aziz tidak mahu mengekori jejak beliau.

Ustaz Wan Ji sememangnya sudah punyai pengalaman dalam penulisan buku berkenaan tokoh ugama. Dahulupun sebuah buku telah dikarang oleh beliau. Kemudian, Buku FENOMENA NIZAR yang ditulis ustaz tidak kurang hebat kupasannya. Sememangnya Nizar seperti apa yang dituliskan. Hebat!

Buku ini KEZUHUDAN UMAR ABDUL AZIZ, KESEDERHANAAN NIK ABDUL AZIZ, masih belum diterbitkan, tetapi anda harus ada rasa tidak sabar untuk menantinya. Kolaborasi dua tokoh ini digabungkan dalam sebuah khazanah buku. Kalau dulu sebuah buku BELAJAR DARI DUA UMAR sudah dilayangkan kepada khalayak, namun kali kelainan pasti terasa oleh sentuhan kedua ustaz Wan Ji ini.

Apa lagi? Jangan ketinggalan mendapatkan naskhahnya!

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

‘LELAKI SEMUA SAMA SAJA’

>> Thursday, December 10, 2009


i. Lelaki - (Lewat)

‘Sory Farah, I betul-betul tak sengaja lewat. Boss I minta I gantinkan meeting dia tadi’ terkocoh-kocoh Azman berlari-lari anak mencari kelibat seseorang, akhirnya bertemu. Sekuntum bunga disorokkan di belakang. Nafasnya masih tercungap-cungap. Dia lewat lagi dinner malam itu.

‘You selalu macam ni. Tak habis habis-habis dengan alasan boss you. Dah tak ada orang lain ke yang boss you nak cari?’

‘Huh!’ Farah cepat-cepat memalingkan muka ke arah lain. Merajuk. Marah. Bengang.

‘That urgent! I tak boleh nak elak, memang di pejabat tadi ramai yang bercuti, so I kena gantikan tempat dia. You pun tahukan I sebagai apa’ ujar Azman. Dia tahu alasannya kali ini bakal mengundang marah walaupun seingatnya baru kali ketiga dia terlewat sepanjang perkenalannya dengan Farah. Baru 3 kali, tidak banyak pun!

‘stop!’ bentak Farah. Moodnya sudah hilang sejak sejam yang lalu menunggu Azman.

‘Farah, maafkan I. I tak sengaja, next time I janji tak buat lagi?’

‘Dasar lelaki. Semua sama! Selalu tak tepat janji. Then, senang-senang minta maaf!’ Azman kaku. Habis daya mahu memujuk teman wanitanya. Dua tahun menjalinkan hubungan, Farah hingga sekarang belum pernah memahami kesibukkannya sebagai orang besar dalam kerjayanya. Banyak sudah masanya dihabiskan untuk kekasihnya yang seorang itu. Azman Cuma mahukan Farah memahami situasi sahaja, tidak lebih daripada itu. Bukan mahunya perngorbanan dari gadis itu, tetapi hanya sekelumit belas yang berupa simpati iaitu memahami keadaannya.

Kasih sudah Azman korbankan, cuma pengorbanan belum berbalas. Dinner malam itu berbaur kusam dan hambar.

Buat kali ke berapa, Azman di persalahkan lagi. Salah dan terus bersalah. Tapi dia sudah biasa dan lali.

‘Susahnya nak faham perempuan’ bisik hati kecilnya.

Sepi.


ii. Suami - (Lupa Lagi)

Kelam kabut Farid mengemaskan fail-fail yang berselerak di atas meja kerjanya, baru selesai menyiapkan kertas kerja projek yang bakal dibentangkan esok. Hari ini seharian dia berteleku di pejabat, breakfastnya hanya sempat meneguk Nescafe dan sepotong roti. Tengahari tadi pun tidak sempat lunch seperti selalu dengan rakan-rakan, hanya petang tadi Ismail, dispatch sepejabat dengannya menghulurkan baki-baki goreng pisang, mujurlah ada. Semuanya hanya semata-mata kertas kerjanya yang satu ini.

Dia mencuri pandang jam, sudah ke angka dua belas malam rupanya. Dia harus cepat pulang. Mahu berehat, tenang-tenangkan fikiran.

‘Awak belum tidur lagi Sofea?’ sambil-sambil menanggalkan stoking dia menegur isterinya yang duduk sepi di ruang sofa. Televisyen bernyala namun dimatikan suaranya.

‘Abang tak call Sofea pun nak pulang lewat?’ soalan Farid belum berjawab. Sengaja Sofea tidak menjawab. Dia merajuk, suaminya tidak ingat bahawa malam ini….

‘Kan Abang dah SMS siang tadi?’

‘SMS je?’

‘Kenapa ni Sofea. Macam ada yang tak kena. Awak marah pada saya ke?’ Farid merebahkan duduknya di sebelah Sofea di ruang sofa televisyen. Dia mencapai tangan Sofea, mengurut lembut, mudah-mudahan marahnya reda.

‘Atau ada apa-apa yang abang terlupa janji dengan Sofea?’ Tambah Farid lagi, mahu memujuk isterinya. Sofea membatukan diri, matanya ke arah televisyen namun kepalanya melayang jauh. Hatinya sebak. Farid lupa lagi.

‘Huh!’ Sofea mengeluh kecil.

‘YA ALLAH! Maafkan Abang Sofea. Anniversary? Abang betul-betul lupa’ bila terpandang kalendar di dinding baru dia teringat akan hari bertuah itu. Farid benar-benar terlupa tarikh itu. Dia bukan sengaja. Kerja di pejabat tapi mendesaknya untuk lupa.

‘Uh! Lelaki, memang sama semuanya. Benda kecil pun lupa’ Sofea merungut kecil, perlahan saja bisiknya. Namun Farid dengar. Sofea pantas bangkit meninggalkan Farid seorang diri. Farid termangu-mangu bangun mahu memujuk, namun Sofea cepat berlari ke kamar tidur. Merajuk. Marah. Bengang.

‘Sofea, pleeaaaaase sayang. Abang betul-betul minta maaf!’ Letihnya siang tadi dibalas dengan rajuk Sofea. Hajat Farid mahu berehat dan menggamit ketenangan menjadi hampa.

Sofea merajuk lagi. Alamatnya seminggu lagilah dia akan bermasam muka mahu memujuk puteri yang seorang itu. Biarlah Sofea tidak memahami, asalkan Farid sendiri tidak melukai sesiapa. Mudah benar lelaki dihukum.

Akhirnya Farid terlelap saja di sofa malam itu.

Sepi.


iii. Ustaz - (Ego)

‘Ana cadangkan supaya kita tambahkan saja Ahli Jawatankuasa dalam program sukan kali ini, supaya kerja-kerja pengurusan semasa berjalannya program tidak kelam kabut’ Thoriq bersuara. Dia memberi cadangan.

‘Ya. Betul-betul. Kalau ikutkan pengalaman lepas, program sukan begini selalu tak menang tangan’ Salman pula menambah. Dia bersetuju dengan idea Thoriq.

‘Ustaz, ana kurang setuju. Kalau kita tambah AJK, maknanya bajet mesti bertambah. Susahlah nanti, kita banyak nak guna duit, terutama nak hias-hias pentas dan sebagainya’ Balas Suhaida. Suara tidak setujunya kedengaran di sebalik tirai. Mesyuarat petang itu agak panas juga. Seawal mula mesyuarat lagi, ada saja cadangan Syabab (lelaki) yang tidak sekepala dengan akhwat (perempuan). Bukan Suhaida seorang bahkan majority akhwat!

‘Duit insyaallah ana akan usahakan. Yang penting program ini mesti berjalan dengan lancar. Sudah 3 tahun berturut-turut kita mempunyai masalah kekurangan tenaga kerja. Ana pun segan dengan Pegawai-pegawai yang datang tanpa layanan dan perform yang baik’ tambah Thoriq lagi. Dia bukan mempertahankan hujah, tetapi sekadar mahu program itu berjalan baik. Itupun kurang dipersetujui. Tidak banyak, permintaannya hanya mahu ditambahkan AJK.

‘Lagipun ana rasa AJK yang kita lantik ni dah cukup banyak. Kenapa ustaz mahu tambah lagi? Ana tak nampak pun ada kekurangan’

‘Ana cuma mahukan persediaan awal. Mana tahu terjadi perkara yang sama’

Semua sidang mesyuarat bersuara sesama sendiri. Agak hingar seketika. Akhwat berbincang sesama mereka. Syabab juga begitu.

Di sebalik tirai Suhaida hanya berbisik pada temannya di sebelah: ‘Lelaki, sama je semua Fatin. Ego! Bukan nak dengar pendapat kita pun’

‘Isy, tak baik kau cakap macam tu Ida’

‘Kau pun sokong Ustaz Thariq juga?’ Suhaida berseloroh memerli. Marah pun ada.


iv. Abang - (Bodek)

‘Ummi, bangah ingat nak minta duit belanja sekolah lebih sikitlah esok. sekolah bangah ada buat jualan buku’ Fifi merapati bondanya yang sedang sibuk memotong sayur. Kak Long di sebelah bonda hanya menjeling.

‘Nak beli buku ke, nak makan-makan? Macamlah orang tak tahu’ Kak Longnya bersuara. Sengaja mahu melihat adiknya marah.

‘Kak Long ni, ada-ada jelah. Orang cakap dengan Ummi bukan dia’

‘Boleh ya Ummi?’

‘Ya sayang! Esok ingatkan Ummi sebelum ke sekolah’ ujar bondanya. Fifi tersenyum riang, hasratnya belum pernah sekali ditolak bonda. Maklumlah anak bongsu.

‘Fifi tu bukannya Ummi tak tahu. Mana pernah minat buku cerita. Ni pula nak beli buku-buku sekolah. Entah-entah komik yang dibelinya’ tambah Kak Longnya lagi. Sedikit marah apabila bondanya menurut saja kehendak Fifi

‘Ita, biarlah, kamu patutnya bagi semangat, ini tidak’

‘Huh! Lelaki semua sama je, kecil-kecil dah pandai membodek. Mulut manis!’

‘Isy’ bonda menegur.

‘Wekkkk, Kak Long jelous!!’ Fifi pantas berlari ke ruang tamu. Jika tidak, pasti ada habuan dari Kak Longnya.

p/s: terima kasih untuk teman alumnai housemate saya shuk-koey, posting ini terhasil daripada dia. kalau siapa-siapa yang geram atau marah. dia selayaknya dimarahi dulu, bukan saya. kih kih kih! siaplah kau shuk!!!

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

kunjungan anda

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP